Salam Bicara..

Berpesan pada kebenaran

Jan 4, 2011

Belajarlah Menulis Di Atas Pasir

Dua orang sahabat karib si A dan B sedang berjalan melintasi sebuah gurun pasir. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba sahaja tercetus pertengkaran di antara mereka berdua. A telah menghadiahkan B satu tamparan yang hinggap di pipinya. B terasa sangat sakit hati tetapi tidak bertindak balas.
Tanpa berkata apa-apa, B menulis di atas pasir : Hari ini sahabat baik ku telah menampar mukaku. Kemudian mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka menemui sebuah kawasan subur di padang pasir. Mereka mengambil kata sepakat untuk mandi di oasis tersebut sebelum meneruskan perjalanan yang masih jauh.
Dalam mereka asyik membersihkan diri masing-masing, B nyaris tenggelam dan lemas tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya, A. Ketika B mula sedar dari lemas dan hilang rasa takut, dia menulis di atas sebuah batu : Hari ini sahabat baikku telah menyelamatkan nyawaku.
A bertanya : “Kenapa setelah aku melukaimu, kau menulis di atas pasir. Dan sekarang, kenapa pula kau menulis di atas batu?” Sambil tersenyum, B berkata “Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulis di atas pasir agar angin maaf datang menghembus dan menghapuskan tulisan itu. Dan apabila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup sang bayu.”
Moral cerita, dalam kehidupan seharian kita, sering terjadinya perbezaan pendapat dan konflik disebabkan oleh pandangan kita yang juga berbeza-beza. Oleh itu, cubalah untuk saling memaafkan dan melupakan perselisihan lalu. Belajarlah menulis di atas pasir.
Sekadar renungan. Adioss…

Misi Memanjat Kerusi...

Seorang budak lelaki berumur lebih kurang 15 bulan bersungguh-sungguh mencuba buat kali kelima memanjat kerusi. Kerusi yang tingginya hanya paras mata budak itu nampaknya agak sukar dinaiki. Selepas percubaan demi percubaan dilakukan,akhirnya dia berjaya menemui satu cara memanjat ke atas iaitu dengan memijak sebatang palang yang terdapat pada kaki kerusi berkenaan. Dengan memijak palang,memaut dan menarik tubuhnya ke atas ,dapatlah dia sampai ke atas kerusi itu.

Keesokan harinya,setiap kali si budak itu berpeluang menjalankan aktivitinya sendiri,dia terus mencuba lagi memanjat kerusi.Baginya sesuatu yang dipelajari dan diketahuinya adalah perkara yang menyeronokkan.Dia juga bangga berstatus pandai dan mampu melakukan daripada status belum pandai.Seterusnya kerusi yang sama terus dipanjat dan kini dia mula pandai turun sendiri.Habis semua kerusi dipanjatnya sebagai tanda dia menguasai 'ilmu panjat turun kerusi'

Kisah tingkah laku kanak-kanak berumur kira-kira setahun lebih ini menggambarkan pandangan ahli psikologi yang menyatakan motif berjaya seseorang individu sentiasa menjadi topik utama di sepanjang hidupnya.Kebangkitan diri berlaku dengan sendirinya berdasarkan keadaan persekitaran seharian.Kejayaan kita menyelesaikan apa-apa tugasan atau misi,selalunya menjadikan diri kiuta sendiri kurang tertarik atau sedikit bosan dengan tugasan yang selesai.Kita kurang merasakan perkara-perkara yang berjaya kita selesaikan itu adalah perkara yang menarik dan bernilai.Lalu kita sentiasa mencari-cari pengalaman atau pelajaran baru yang masih kita rasakan ianya seronok untuk ditempuhi.

Demikian daya maju semula jadi manusia yang sentiasa berasa tidak cukup dan mengejar kemajuan secara terus menerus.Rasa bosan,keinginan dan mencuba hanyalah perantara bagi mencapai sesuatu yang diungkapkan sebagai kesempurnaan sendiri.

Itulah keadaan kita semasa kecil dahulu.Setiap hari kita mencuba dan berjaya.Percubaan sentiasa ditingkatkan kepada yang lebih advance dan semakin mencabar.Adakah pada hari ini kita masih mengamalkan daya maju seperti waktu kita kecil dahulu?